BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, February 25, 2010

~ Pemimpin Wajib Mentarbiahkan Hati~




Tarbiyah hati, inilah satu tanggungjawab yang sering diabaikan oleh pemimpin Islam. Padahal tarbiyah hati itulah pangkal segala kebaikan. Jika hati telah dididik, kekurangan luaran (krisis ekonomi, kekurangan bahan mentah dan lain-lain lagi) akan dapat dihadapi dengan sebaik-baiknya. Bahkan undang-undang dan peraturan negara pun akan dapat dipatuhi dengan baik jika tarbiyah hati ini telah benar-benar dapat dimantapkan.


Jiwa atau hati adalah raja dalam diri manusia. Ia umpama pemerintah yang menentukan buruk dan baik sifat seseorang. Hati juga ada keperluannya. Tetapi kerana sifatnya yang abstrak (maknawi), maka keperluannya juga bersifat abstrak. Keperluan hati ialah iman dan takwa. Oleh kerana sifatnya yang maknawi, maka hanya pemimpin yang mempunyai "mata hati" sahaja dapat melihat adanya keperluan ini dan cara untuk memenuhinya.


Jika jasad perlukan makan minum, akal perlukan ilmu, maka hati pula memerlukan iman (keyakinan). Iman sangat penting dalam hidup kerana ia memeberi arah tuju kepada segala aktiviti manusia. Ia juga yang akan menentukan sistem nilai, paradigma ataupun pandangan alam (world-view) seterusnya sikap serta kelakuan seseorang. Tegasnya, ilmu yang tinggi sahaja tidak akan membawa ke mana-mana tanpa iman yang mantap. Iman yang bertapak di hati ini perlu dibangunkan oleh setiap pemimpin.


Pemimpin perlu berusaha memantapkan soal iman dan keyakinan rakyatnya secara menyeluruh. Menyediakan prasarana dan sistem pembelajaran keimanan (fardhu ain) dalam bentuk ilmiah sahaja tidak memadai untuk menterjemahkannya dalam kehidupan. Tetapi apa yang lebih diperlukan ialah ilmu itu perlu diyakini dan diresapkan ke dalam hati rakyat jelata.


Misalnya, "tahu Allah Maha Melihat" hanya di akal, tetapi untuk merasai Allah Maha Melihat adalah soal hati. Ia lebih mendalam dan mendasar sifatnya. Untuk memantapkan soal-soal yang ada kaitannya dengan keyakinan ini, para pemimpin mestilah terlebih dahulu memiliki keyakinan itu dan berjaya menterjemahkan keyakinan itu menerusi sikap dan perlakuan.


Hanya keyakinan yang dapat membentuk keyakinan. Dan keyakinan yang mantap mesti melahirkan tindakan. Tindakan inilah yang akan membentuk sikap, dan sikap inilah kemudiannya membentuk teladan. Dalam usaha mendidik hati, teladan lebih berkesan berbanding saranan.


Sehubungan itu, cara mendidik yang terbaik ialah dengan mempamerkan teladan yang baik. Justeru, seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik secara tidak langsung telah mempunyai kemahiran yang paling tinggi dalam mendidik pengikutnya. Ini kerana rakyat lebih mempercayai mata (apa yang mereka lihat) berbanding telinga (apa yang mereka dengar). Rakyat akan mudah mengikut cakap pemimpin jika apa yang dibuat oleh pemimpin selaras dengan apa mereka cakapkan.


Keperluan rohani kepada iman dan takwa ini ialah keperluan yang sangat sukar diisi oleh para pemimpin sedangkan ia adalah keperluan yang paling utama dibandingkan keperluan-keperluan yang lain. Bukan itu sahaja, malah ada para pemimpin yang tidak menganggap soal ini sebagai satu keperluan apalagi satu keutamaan. Ini soal remeh, apa yang dipentingkan ialah keperluan fizikal dan akal semata-mata, didakwa mereka.


Oleh sebab memandang remeh akan keperluan inilah, maka kita sedang berdepan dengan pelbagai masalah. Sebab itu tidak hairan jika kita dapati ramai remaja yang terjerumus ke lembah kejahatan walaupun telah mendapat kemewahan hidup dan ilmu agama yang mencukupi.


Ada pemimpin yang tidak tahu apa yang sebenarnya diperlukan oleh rakyat. Mereka bertungkus lumus memenuhi keperluan fizikal dan akal dengan anggapan mereka sudah pun menjalankan tugas kepimpinan dengan baik, sedangkan pada hakikatnya mereka bukanlah pemimpin yang baik. Hal ini kerana mereka mengabaikan keperluan hati rakyat-rakyatnya.


Pemimpin mestilah menyedari bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja memberi kemudahan dan keselesaan hidup di dunia tetapi juga keselamatan dan kebahagiaan di akhirat. Setiap pemimpin akan ditanya akan nasib rakyatnya di akhirat!


Mudah-mudahan dengan kesedaran ini, para pemimpin atau mereka yang beria-ia hendak menjadi pemimpin, rela bermuhasabah sejenak tentang kemampuan mereka intuk mengisi keimanan dalam jiwa rakyat. Dalam Islam, ini adalah keperluan rakyat yang asasi. Misi inilah yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w


0 ulasan: