BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, December 11, 2009

kehidupan perlu diteruskan




Amal Jariah dengan Memberi

Buatlah kebaikan kerana ia akan "terus hidup" selepas kita mati. Ingatlah bahawa ada amal kebaikan yang kita lakukan, pahalanya terus kekal dan mengalir walaupun selepas kematian kita. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Apabila mati seseorang manusia itu, akan terputus daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang senantiasa mendoakannya." (Riwayat Muslim)

Mari kita teliti ketiga-tiga perkara dalam hadis ini.

Pertama, amal jariah. Bagaimana kita mampu membina rumah anak yatim, masjid, sekolah, hospital dan lain-lain jika kita tidak miliki sikap memberi kepada orang lain? Orang yang bakhil tidak akan melakukannya. Mereka seolah-olah ingin membawa harta pulang ke kubur!

Kedua, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain. Ilmu hanya akan menjadi amal jariah sekiranya kita mengajarkan kepada orang lain. Mengajar itu ertinya memberi ilmu. Hadis inilah yang menjadi prinsip hidup para ulama yang mana hidup mereka dipenuhi oleh episod mencari, memahami dan menyampaikan ilmu. Bertitik tolak daripada hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat." (Riwayat al-Bukhari)

Ketiga, doa daripada anak yang soleh. Ianya terhasil oleh sikap memberi ibu atau bapa. Dengan segala jerih payah ibu bapa mengorbankan segala-galanya untuk membesarkan anak; dari aspek fizikal, pemikiran, emosi dan kerohanian anak-anak. Hasilnya, anak itu menjadi anak yang soleh. Tanpa sikap memberi ibu bapa, tidak akan terbentuk anak yang soleh.

Ingatlah betapa Allah melimpahkan ke dalam jiwa ibu bapa sifat kasih sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan anak-anak yang lain. Malah, jika anak meragam, memberontak malah derhaka sekalipun, masih ada ibu bapa yang menyayangi mereka. Dengan kasih sayang itulah ibu bapa berbakti (memberi) kepada anak-anak tanpa meminta balasan.

Dilimpahkan juga ke dalam jiwa ibu bapa sifat rajin, prihatin, simpati dan empati yang tidak terhingga. Sewaktu anak masih kecil, segala keperluannya diberikan. Ibu menjaga anak siang dan malam - menyusukan, memandikan dan memakaikan pakaian - satu tugas yang dilakukan berulang-ulang tanpa rasa jemu. Bapa, akan sentiasa bekerja memerah keringat untuk menyara hidup keluarga tanpa rasa jemu, letih dan bosan.

Bukankah ketiga-tiga di atas bersifatkan sifat memberi?

Inilah kebaikan dan kelebihan sikap memberi. Manusia berperanan sebagai hamba Allah dan khalifah di bumi. Sebagai hamba, kita mesti menjadi manusia yang baik. Sebagai khalifah kita mesti memberi kebaikan. Dan kita tidak akan menjadi orang yang baik selagi kita tidak memberi kebaikan. Bukankah ini membuktikan bahawa hidup ini untuk memberi? Ya, memberi kebaikan!.

0 ulasan: