BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, August 30, 2010

~ Kala ini...~

Dengan izinMu Ya Allah,

Akhirnya pada hari ini, 31 ogos 2010 dapat juga ku mengambil sedikit ruang dan masa untuk menulis sedikit cerita dilembaran blog ini. Walaupun setelah sekian lama menyepi, dengan kesempitan waktu, kesibukan ruang dan masa dengan hanya sekelip mata dengan izinMu dapat ku gagahi jua segalanya..

Entah kenapa hari ini jiwa dan perasaan ku diusik dengan pelbagai rasa, jeritan dan rintihan.. Apatah lagi jiwa ku diancam perasaan sedih dan pilu setelah menerima khabar bahawa adik-adik ku bakal meninggalkan ku di tanah gersang ini kerana menyahut panggilan jihad di bumi Jordan.. Maafkan akak sebab tidak dapat hantar kalian pada 2hb nanti. Pastinya akan terimbau segala kenangan manis dan pahit yang telah kita lalui sepanjang kebersamaan kita selama ini. Hanya doa dari akak menjadi peneman kalian disetiap waktu.

Ya Allah, berilah aku kekuatan menghadapi setiap yang berlaku. Aku juga insan biasa yang tidak terlepas dari segala masalah. Hatta kecil mahupun besar masalah itu, akhirnya dengan bantuan dan pertolonganMu, semuanya dapat ku rempuh sekuat jiwa.

Bukan hanya dilanda rasa sedih dan pilu, tetapi hatiku jua kini dihempap rasa geram dan benci.. Entah kenapa dan apa sebabnya..Puas sudah ku lontarnya jauh-jauh..dan berharap agar jangan datang lagi dalam hidupku..tetapi ia datang lagi...Ya Allah, apakah ini lagi cubaan yang perlu ku hadapi? Ya Allah.....aku insan hina...insan yang lemah..Siapalah aku tanpa bantuan dariMu..

Mataku sudah tidak mampu lagi untuk berselindung.. Hatiku sudah tidak mampu lagi untuk menanggung..Ku biarkan air itu terus mengalir tanpa henti..agar lariannya nanti tidak sumbang di kemudian hari.. Biarlah kali ini aku merasa besarnya kuasa air itu..Kehadirannya tidak pernah ku nantikan..Kedatangannya ku sambut dengan senyuman..

Ya Allah, berilah aku kekuatan dalam menghadapinya..

Monday, May 10, 2010

Muhasabahku..


Bismillahirrahmanirrahim..


Ku mulakan blog ini dengan menyebut namaMu ya Allah. Setinggi-tinggi kesyukuran ku rafakkan kepadaMu di atas keizinan masa untuk terus menulis di ruangan maya ini. Apabila hendak masukkan entri yang baru, tiba-tiba idea terus hilang. Semangat untuk menulis menjadi lemah. Yang hanya datang cuma lamunan dan kata-kata yang hilang. Entahlah semangat yang mula-mulanya tadi berkobar-kobar dengan sekelip mata senyap diam tanpa kata.

Aku pun jadi seperti "patung cendana". Melihat blog sendiri dan diam seribu bahasa. Tetapi jari-jemari yang kerdil ini terus menari melakar cerita buat seketika. Sebelum aku pergi jauh berlari, ingin lagi ku bermonolog pada diri sendiri. Apakah sebenarnya tujuan utama aku membina sesawang ini? Adakah untuk tontonan umum atau hanya sekadar suka-suka sahaja? Pernah sekali dua, apabila lincah membaca blog rakan-rakan yang lain timbul persoalan yang sama. Apakah objektif utama pembinaan blog sebegini?? hurm..

Akhirnya, ALHAMDULILLAH. Aku menemui jawapan yang mungkin memberi bekas di jiwa. Tulisan tersebut hasil karya kakak seniorku yang kini bergelar sebagai pendidik. Jika dihitung, memang agak ramai senior-seniorku yang bergelar pendidik. Ramai sahabat mengatakan yang wajahku seiras dengannya. Dan ada pula yang menyangka aku ini adik beradik dengan beliau. Kuasa ALLAH. Mungkin seniorku itu merupakan salah seorang daripada kembar tujuhku.

Jika sebelum ini, aku bergiat aktif di laman sesawang yang baru mula bertapak~ musafir kasih ~ kerana hendak menyalurkan bakat yang ada di dunia realiti. Asalnya, aku sendiri tidak mengetahui bagaimana mahu membuat blog, sekadar idea hanya di minda dan lain-lain lagi yang kesemuanya ku rangkum menjadi pemula kepada penulisan blog ini. Namun, lama kelamaan matlamat tadi bertukar wajah. Macam lagu artis SENARIO la pulak. Biarlah matlamat yang baru ini sealiran dengan niat kerana ALLAH.

Seseorang yang ku anggap sebagai "orang penting" dalam kehidupanku berpesan,
"Jadikanlah blog ini sebagai medium dakwah. Penuhi isinya dengan coretan ilmu yang memberi manfaat pada semua yang melihatnya. Jangan hanya tulis yang peribadi je. Nanti ape plak pandangan orang yang melihat dan membacanya." Pada mulanya aku agak tersentak sedikit apabila mendengar komennya berkata demikian padaku. Tetapi hari demi hari, fikir terus berfikir, apa yang diutarakannya itu benar belaka. Kadang-kadang kita leka dan "syok sendiri" dengan apa yang kita luahkan. Syukran jazilan juga padanya kerana tidak pernah putus-putus memberi nasihat dan sokongan walaupun adakalanya kami tidak bersependapat dalam sesuatu perkara. Ada sahaja bantahan daripadaku untuk dirinya. yelah orang kata, MAHU MENANG.

Dan satu lagi, matlamat yang paling utama dan sebesar-besar tujuan penulisan blog kecil ini ~ Musafir Kasih ~ sebelum ku melangkah meninggalkannya ialah: Pastikan apa sahaja yang kita lakukan, bernilai ibadah disisi-Nya. Hatta dalam menulis blog sendiri. Itulah sebenarnya yang paling penting bagiku yang harus sedari dulu ku ketahui kewujudannya.

p/s: Syukran pada seniorku di atas jemputan tidak rasmi untuk membaca blog beliau. Syukur pada ALLAH kerana memberi ruang padaku untuk membacanya.

Wassalam.




Thursday, May 6, 2010

Ya ALLAH

Hanya Dia, Zat Yang Maha Kuasa yang selayaknya menjadi tumpuan setiap hati hamba-hamba-Nya yang beriman. Tidak gugur sehelai daun di tengah-tengah rimba, melainkan hanya dengan izin-Nya. Tidak bergerak sebiji pasir di dasar lautan melainkan hanya dengan kudrat-Nya.

~ Muhasabah Cintaku ~

Wahai pemilik nyawaku
betapa lemah diriku ini
berat ujian dariMu
ku pasrahkan semua padaMu


Tuhan..
baru ku sedar
indah nikmat sihat itu
tak pandai aku bersyukur
kini ku harapkan cintaMu


Kata-kata cinta terucap indah
mengalir berzikir di kidung doaku
sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku


Butir-butir cinta airmataku
teringat semua yang Kau beri untukku
ampuni khilaf dan salah selama ini
ya Illahi
muhasabah cintaku


Tuhan
kuatkan aku
lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
pertemukan aku denganMu




Thursday, April 22, 2010

HEART

Isu jaga hati...

Kadang-kadang hati kita disakiti...dan kadangkala pula kita menyakiti. Itu memang tidak dapat kita lari dan nafikan. Ada juga situasi kita menyakiti dalam menyatakan kebenaran. Memang agak pahit untuk ditelan. Adakah itu dinamakan keadilan? Atau hanya sekadar mainan perasaan?Kalau dihitung betapa sakitnya hati..memang tidak akan mampu dibilang dengan jari. Saat kini pun hati merasa sakit. Bagai disiat-siat..pedih. Bukan mahu mempersoalkan apa yang terjadi. Tapi inilah kehidupan. Ujian..ujian.

Betapa ramai orang sakit hati..Ada yang MEMENDAM..tak kurang juga yang sudi meluahkan perasaan. Tapi berapa ramai yang mampu untuk mendengar? satu, dua, tiga...atau langsung tiada...PEREMPUAN..Memang sinonim dengan SAKIT HATI. Siapa yang berani mengatakan dia tidak pernah sakit hati hatta kepada sahabatnya sendiri..Hamba mengaku hamba pernah sakit hati..Seperti yang hamba katakan tadi. Kalau dihitung betapa sakitnya hati, tidak akan mampu dibilang dengan jari.

Inilah hakikat kehidupan. Adakalanya senang, dan ada waktu berasa susah. Adakalanya sendirian dan ada masa kita beramai-ramai. Hanya DIRI yang mengerti akan perihal sendiri. Orang lain tidak akan mampu untuk mengubati bahkan hanya berani untuk menyakiti. Jadilah diri sendiri yang berani berdepan dengan onak duri.

Wednesday, April 21, 2010

Redha kerana ALLAH




1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :


" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia
bersabar
bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )


Belajarlah untuk ikhlas.


Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya. ( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )

Selingan daripada ILUVISLAM

~Album Kasih~