BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 11, 2010

Jadilah Diri Sendiri

Adalah tidak tepat jika kita melihat hidup ini sebagai satu pertandingan yang masing-masing ingin mencapai kejayaan.

Tetapi bagaimana kalau anda berasa sedang bertanding dengan diri sendiri? Yakni anda harus berusaha agar mempamerkan, mengeluarkan atau menghasilkan sesuatu dengan fikiran, tenaga, keupayaan yang paling tinggi dan terdaya, dan usaha yang paling optimum (terbaik), terhadap diri anda sendiri.

Apabila bertanding dengan diri sendiri anda akan berasa malu kalau anda "kalah" dengan diri sendiri, tetapi jangan pula rasa malu jika anda "kalah" dengan orang lain.

Namun lazimnya orang yang menang dalam bertanding dengan dirinya sendiri akan turut menang juga dalam pertandingan dengan orang lain.

"Only me can beat me!" Benar, anda sahaja boleh mengalahkan diri anda sendiri. Jadi mulalah bertandinglah dengan diri-kalahkan rasa malas, tundukkan sifat malu tidak bertempat, atasi rasa takut yang tidak kena pada masanya dan lain-lain sifat negatif.

Satu perkara yang harus dihindari ialah sikap suka membanding-bandingkan diri dengan kawan-kawan. Hal ini kerana membandingkan diri anda dengan kawan-kawan anda sama ada yang lebih baik atau kurang baik daripada anda akan memberi kesan negatif terhadap diri. Mengapa?

Sebab kita semua mempunyai "jangka masa perkembangan" yang berbeza antara satu sama lain. Sama ada dari segi perkembangan emosi, fikiran dan jiwa, tempoh kematangan manusia tidak sama. Kita dibesarkan dalam linkungan, latar belakang keluarga dan suasana yang berbeza, maka jadual kematangan kita juga berbeza.

Dalam hidup kita mesti mengatasi pelbagai halangan yang berbeza dengan orang lain. Tembok yang ada di hadapan kita sudah pasti tidak sama tinggi atau rendahnya dengan tembok orang lain. Mereka di laluan mereka, kita di laluan kita. Berhenti daripada membandingkan laluan kita dengan laluan orang lain kerana sudah pasti laluan itu tidak sama. Mudah pada mereka mungkin payah untuk anda. Payah buat mereka, mungkin mudah buat anda.

Tabiat membanding-bandingkan kita dengan orang lain meletakkan hidup kita umpama ombak laut yang dipukul angin. Perasaan kita akan sentiasa tidak stabil. Turun naik silih berganti. Satu masa kita rasa bangga tetapi satu ketika yang lain kita rasa putus asa. Yakin pada satu tahap dan ragu-ragu pada tahap yang lain.

Binalah diri anda sendiri, sayangi diri itu dengan membina satu keyakinan bahawa Allah Maha Adil dengan mengurniakan bakat dan kemampuan untuk mencapai kejayaan dalam hidup berbekalkan kelebihan dan kekurangan yang anda miliki. Kita adalah unik, justeru tidak ada sesiapa yang serupa dengan anda dari segi luaran dan dalaman.

0 ulasan: